Tumpuan penuh Erik ten Hag adalah untuk mengekalkan prestasi mengagumkan Manchester United di atas padang dan pengurus berbangsa Belanda itu mengelak daripada mengulas mengenai masa depan Mason Greenwood di kelab berkenaan.
Kesemua pertuduhan ke atas penyerang United itu digugurkan oleh Perkhidmatan Pendakwaan Mahkota (CPS) berikutan saksi utama menarik diri.
Greenwood telah ditangkap pada Januari 2022 dan dibicarakan pada November lalu atas tuduhan cubaan merogol, menyerang dan mengawal dan kelakuan paksaan.
Pemain berusia 21 tahun itu berkata dalam satu kenyataan yang dikeluarkan secara meluas bahawa dia lega kejadian terbabit sudah selesai, manakala United akan menjalankan prosesnya dalaman sebelum mengulas lanjut.
Ten Hag yang berdepan sidang media menjelang pertemuan Liga Perdana Inggeris (EPL) dengan Crystal Palace telah ditanya sama ada dia mempunyai sebarang komen untuk dibuat mengenai Greenwood.
“Tiada apa-apa. Saya tidak boleh menambah apa-apa. Saya perlu merujuk kepada kenyataan kelab,” katanya.
Ditanya adakah dia akan menjadi sebahagian daripada proses yang menentukan masa depan Greenwood di Old Trafford, Ten Hag berkata: “Pada masa ini, saya tidak boleh memberi komen mengenai proses itu.”
Begitupun, bekas pengendali Ajax itu terus diasak dengan soalan adakah dia pernah bertemu secara peribadi dengan Greenwood selama digantung oleh United sejak penahanannya lebih kurang 12 bulan lalu.
“Saya tidak boleh berkata apa-apa mengenainya. Saya perlu merujuk kepada kenyataan kelab dan pada masa ini saya tidak boleh mengulas apa-apa lagi.”
Source: stadiumastro.com