LONDON: Graham Potter meminta pemilik Chelsea untuk ‘segera’ menyelesaikan perbincangan kontrak dengan pemain tengah England, Mason Mount.
Potter mahu Chelsea menyambung perjanjian kontrak Mount sebelum spekulasi mula bertambah mengenai masa depannya di Stamford Bridge.
Pemain berusia 24 tahun itu masih ada baki kontrak 18 bulan di Chelsea namun bergelut untuk sampai ke kemuncak prestasi musim ini dan hilang tempatnya dalam kesebelasan utama baru-baru ini.
Kali terakhir Mount memulakan aksi buat Chelsea ialah ketika menentang Fulham pada 3 Februari tetapi bos Blues, Potter menegaskan pemain itu kekal antara tonggak pasukannya.
“Ia sentiasa rumit, sentiasa ada perbincangan,” kata Potter kepada wartawan semalam.
“Adalah yang terbaik buat saya memberikan peluang antara Mason dan kelab berbincang,” katanya. “Ia adalah cara terbaik untuk menyelesaikannya.
“Adalah sesuatu yang menakjubkan untuk bekerjasama dengannya, pemain yang penting buat kami dan saya harap ia dapat diselesaikan secepat mungkin.”
Sementara itu Potter mengakui Chelsea mesti meningkat dalam aspek penyudah selepas melihat pasukannya hanya meledak dua kali dalam lima aksi terakhir.
Skuad Blues yang kini di kedudukan ke-10 Liga Perdana Inggeris, terlepas banyak peluang ketika kalah 1-0 di tangan Borussia Dortmund pada aksi pertama kelompok 16 terakhir Liga Juara-Juara awal pagi Khamis lalu.
Chelsea tidak menjaringkan gol dalam tujuh daripada 12 perlawanan walaupun pada Januari mereka mendapatkan Joao Felix, Mykhailo Mudryk, Noni Madueke dan David Datro Fofana bagi memperkuatkan barisan serangan. – AFP
Source: bharian.com.my